Powered by Blogger.

Sebuah Karya Dari Hati yang Mencintai Sastera

BERAKHIRNYA SEBUAH PENANTIAN
By : Nadia Andrea



Zariff berlalu pergi. Tiada alasan mengapa dia perlu terus berada di situ. Baginya apa yang ingin dikatakan sudah dinyatakan. Dia harap gadis yang berada dihadapannya itu akan mengerti.

Cici membeku di bawah pohon Maple. Daun – daun Maple yang berguguran langsung tidak dihiraukan. Sekali – sekala dia menepis daun – daun yang gugur daripada terkena mukanya. Anak matanya menghantar Zariff. Sayup – sayup, kelibat itu hilang di celah – celah dewan kuliah. Cici menyeka kelopak mata. Ada titisan air jernih bergenang di situ.

‘ Aku menangis? Bodoh! Tak mungkin aku akan menangis hanya kerana lelaki! Air mata yang diseka sudah kering. Dia terus berlari meninggalkan tempat yang memalitkan luka di hatinya.



************

Heathrow London. Yeyen keseorangan di lapangan terbang. Hanya sebentar tadi Iqbal menemaninya. Kemudian lelaki itu meminta diri, kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Yeyen terharu. Iqbal terlalu baik padanya. Dia akui hatinya mula sukakan lelaki itu.

**************

Yeyen menunggu di balai pelepasan. Penerbangannya pada pukul 5 petang. Dia masih ada masa sejam. Dia mengeluarkan semula sehelai nota yang banyak mengganggu emosinya lewat kebelakangan ini.

Yeyen,

Persahabatan kita hanya setakat ini sahaja. Maafkan aku kerana sudah tidak mampu lagi untuk meneruskan persahabatan ini. Selepas ini janganlah kau cari di mana aku. Sampai saatnya nanti, aku sendiri yang akan melutut memohon kemaafan darimu.


Cici

Air mata Yeyen meluncur laju. Setiap kali membaca nota itu, pasti dia gagal menahan emosi. Dia benar – benar binggung. Dia tidak tahu mengapa Cici meninggalkan dirinya. Sepatutnya mereka akan pulang bersama ke tanah air setelah tamat belajar. Namun secara tiba – tiba Cici meninggalkan dirinya. Cici hilang tanpa khabar berita.


*************


Iqbal menyentuh lembut bahu isterinya. Dia faham perasaan isterinya. Sejak tadi Yeyen hanya menatap emel yang dihantar oleh kawan lamanya. Dia tidak mahu menyoal panjang. Apa yang pasti Yeyen terlalu teruja dengan surat elektronik itu.

‘ Yen sudahlah tu…mari tidur. Takkan asyik nak mengadap komputer tu je. Nanti baby dalam perut you tu jadi juling’ Iqbal mengusik. Yeyen mencuka. Iqbal tidak melengah. Dia terus memujuk. Dia masak benar dengan perangai Yeyen. Sejak mengandungkan anak sulung mereka, isterinya itu menjadi terlalu sensitif. Pantang ditegur mulalah merajuk. Ikutkan hatinya geram juga. Tapi bila mengenangkan pembawaan budak, dia lebih banyak mengalah.

Malam itu Yeyen banyak bercerita tentang sahabatnya. Iqbal tidak banyak mencelah. Dia lebih banyak mendengar. Tidak kuasa nak menyibuk, lagipun dia seronok mendengar isterinya bercerita. Namun dari dulu hanya satu soalan sahaja yang dia ingin tanya…Siapa nama kawan baik Yeyen itu? Seperti selalu semuanya seakan tingal tanda tanya.


******************

Hati Yeyen terusik. Dia benar – benar tidak percaya dengan apa yang dibacanya. Apa yang tertulis itu benar – benar berbekam di hati. Dia nekad, sesuatu perlu dilakukan sebelum terlambat. Keadaan perlu dibetulkan.

*******************
Yeyen mengerang kesakitan. Tanda – tanda kelahiran sudah jelas. Iqbal panik. Pertama kali berhadapan dengan keadaan ini tentu sahaja dia mengelabah. Dalam pada itu dia benar – benar gembira. Tidak lama lagi dia akan bergelar bapa. Ini merupakan kelahiran yang istimewa setelah hampir lima tahun dia menunggu. Sudah terlalu lama!

Yeyen mengenggam erat tangan Iqbal. Seolah – olah tidak mahu melepaskannya. Dia benar – benar rasa sakit. Bukan sakit kelahiran yang biasa. Mungkin ini risiko yang harus ditanggungnya untuk melahirkan zuriatnya itu. Dia tidak menyalahkan takdir…demi suami tercinta dia rela berkorban.

*****************


Dada Cici berdebaran. Belum pernah dia merasa begitu. Bagaimana dia harus menerima berita ini? Terlalu sukar untuk Cici mempercayai apa yang sedang berlaku. Sesungguhnya dia kehilangan kudrat untuk berhadapan dengan ini semua. Hanya sekelumit kekuatan yang menghantar dia ke sana. Cici berdiri di hadapan pagar rumah teres dua tingkat. Lambat – lambat dia melangkah masuk. Dari jauh lagi dia dapat mendengar dengan jelas suara orang ramai mengalunkan bacaan Yaasin. Hatinya jadi tak keruan.

Jenazah Yeyen ditatap. Untuk terakhir kali. Cici mengambil giliran untuk mengucup dahi arwah. Sampai gilirannya air mata yang sejak tadi tak henti merembes diseka. Takut akan menyakitkan jenazah. Bibirnya didekatkan ke dahi Yeyen. Dingin bak ais. Begitulah rasa kematian. Dada Cici sebak. Kali ini mereka akan berpisah buat selamanya. Pemergian yang takkan kembali lagi. Dia benar – benar rasa terkilan. Hasrat mereka untuk berjumpa setelah lima tahun dia menghilangkan diri kini musnah sama sekali. Kalau dia terkilan, bagaimana dengan Yeyen? Saat ini Cici tewas lagi dengan emosinya. Air matanya kian berjujuran.

********************

Sebulan sudah berlalu. Cici masih teringatkan Yeyen. Entah bila dia dapat mengatasi perasaannya itu. Telefon berbunyi. Dia menjawab. Seorang bergelar peguam memperkenalkan diri.

‘ Apa? Upacara pembacaan wasiat? Daripada arwah Yeyen? Dia perlu hadir? Tapi untuk apa?

*********************

Cici melangkah masuk ke rumah yang pernah dia kunjungi sebulan yang lalu. Segalanya masih sama. Dia ke ruang tamu. Beberapa orang ahli keluarga Yeyen ada di situ. Anak mata Cici tertumpu pada sebujur tubuh halus milik seorang bayi lelaki. Dia menghampiri bayi yang sedang tidur dalam pangkuan neneknya. Bayi itu bertukar tangan. Kekok Cici memangku. Dia gagahi juga. Nalurinya untuk mendukung si kecil terlalu kuat. Air matanya bergenang lagi. Inilah zuriat sahabatnya. Dia berjanji akan menyayangi bayi itu seperti anaknya sendiri. Cici nekad untuk menjadikan bayi itu anak angkatnya.

*****************

Biji matanya rasa mahu tersembul. Sukar dia mempercayai apa yang sedang dilihatnya. Namun semua yang dilihat itu adalah benar. Bukan mimpi apatah lagi fantasi.


Saya tak setuju! Cici membangkang sekeras – kerasnya. Berita yang didengarnya benar – benar menjerut perasaannya. Dia harus menentang. Ini soal hati dan perasaan, juga membabitkan maruah. Zariff Iqbal juga susah untuk mempercayainya. Tapi itulah kandungan surat wasiat Yeyen. Dia mahu dirinya berkahwin dengan Cici, satu – satunya sahabat yang Yeyen ada. Zariff Iqbal telan liur. Ingatannya pada Cici tiba – tiba berputaran. Itulah gadis tomboy yang pernah dia kecewakan enam tahun yang lalu. Rupanya gadis itu dengan arwah isterinya adalah sahabat baik. Adakah disebabkan dia dua sahabat itu putus hubungan? Tiada jawapan. Dia merenung wajah Cici, gadis itu masih sama macam dulu. Apa yang berubah? Personaliti! Gadis di depannya kini bukan lagi gadis tomboy yang dibencinya. Cici sekarang sudah jauh berubah.

********************

Cici termenung di birai katil. Fikirannya kusut. Baru sebentar tadi rombongan meminang daripada pihak keluarga Zariff Iqbal bertandang ke rumah. Terpisat – pisat mama dan papanya melayan tetamu yang tiba – tiba hadir. Zariff Iqbal ingin melamarnya. Cici masih belum memberi kata putus. Ikutkan hati tak payah tunggu lama. Masa itu juga dia boleh bagi keputusan. Dia akan menjerit katakan tidak! Buat apa dia terima lamaran itu? Untuk memperbodohkan diri? Dia tidak mahu! Namun keluarganya orang beradat. Sengaja diminta tempoh.

Puan Sri Indah Zalia tersembul di muka pintu. Dirapati anak gadisnya yang sedang termenung jauh.

‘ Cici mama nak cakap sikit, boleh?’ Cici mengangguk. Puan Sri Indah Zalia menarik nafas lega. ‘ Mama rasa lebih baik Cici terima saja lamaran daripada Zariff tu…jangan nak tipu diri sendiri…mama tahu Cici suka dia. Masih ada cinta untuk dia kan? Cici tidak menjawab. Kemudian dia angguk. Memang benar…cinta untuk lelaki itu masih ada. Tidak pernah padam dalam hatinya!


****************

Malam itu seperti biasa, arwah Yeyen muncul lagi. Wajahnya cukup berseri, tapi riak – riak sedih jelas kelihatan. Tiba – tiba air mata Yeyen berjuraian jatuh ke bumi. Semakin lama semakin banyak…hingga membentuk lopak kecil. Cici tersedar. Dia mengucap panjang. Apa maksud mimpi tadi? Cici bersoal sendirian. Tiada sebarang penjelasan yang boleh diberikan.

******************

Cici masih berkeras dengan keputusannya. Lamaran Zariff Iqbal akan ditolak! Dia tidak peduli lagi betapa dalamnya cinta dia pada lelaki itu. Apa yang pasti dia tidak mahu menjadi isteri lelaki itu. Dia tak sanggup! Dia ada maruah. Cukuplah sekali dia dihina oleh lelaki itu. Malu yang ditanggungnya sampai ke mati pun takkan hilang. Sebab rasa malu itulah dia melarikan diri…jauh dari keluarga dan teman. Sebab malu itulah dia terpaksa berpisah dengan Yeyen. Dia tak sanggup berhadapan dengan Yeyen. Berhadapan dengan Yeyen bermaksud dia juga harus berhadapan dengan Zariff Iqbal…dia tak sanggup! Apa yang harus dia lakukan? Menolak pinangan itu adalah jalan yang terbaik. Mana mungkin dia hidup bersama lelaki yang pernah hancurkan hatinya. Paling utama dia sudah bersumpah untuk melarikan diri sejauh mungkin daripada lelaki itu. Jika dia menerima pinangan itu, bagaimana dengan sumpahnya?

********************

Keputusan sudah diambil. Tidak tahu mengapa tiba – tiba sahaja dia bersetuju menerima lamaran Zariff Iqbal. bodohkah dia? Lantaklah…dia tak peduli. Di luar riuh rendah dengan suara tetamu yang bertandang. Penat juga mama dan papanya melayan jemputan yang hadir.

Muka Cici diberi sentuhan terakhir oleh mak andam. Mana – mana bahagian wajah yang tidak rata ditempek bedak lagi. Dia melihat wajahnya di cermin. Terlalu cantik. Mungkinkah Zariff Iqbal melamarnya disebabkan kecantikannya ini atau kerana benar – benar kerana cinta? Dia tidak tahu. Kosong…

*************************



Masih sama seperti dulu, Zariff Iqbal menolak dirinya. Hati Cici hancur buat kali kedua. Benar telahannya, Zariff Iqbal melamarnya bukan kerana cinta. Tapi terpaksa !.Kerana cinta yang mendalam Zariff Iqbal tak sanggup menolak permintaaan terakhir arwah isterinya. Cici pasrah. Dia memang sudah menduga, sampai kiamat pun dia tidak akan mendapat cinta lelaki itu. Pada malam pertama perkahwinan mereka, Zariff Iqbal mengulangi apa yang pernah dikatakan padanya enam tahun yang lalu.

‘ Hati saya hanya pada seorang wanita bernama Yeyen. Dialah permaisuri hati saya. Cinta saya padanya takkan terkubur bersama jasadnya. Maafkan saya kerana melukakan hati awak. Sampai masa saya akan lepaskan awak. Anggaplah ini hanya sebagai memenuhi amanat arwah. Saya sayang dia, begitu juga awak. Jadi kita sama – sama menunaikannya’ Cici angguk. Benar…ini amanat arwah. Dulu dia sudah banyak kali kecewakan Yeyen. Kini dia tak sanggup lagi menyeksa dan mengecewakan roh sahabatnya itu. Dia rela berkorban.

************************************


‘ Saya nak minta pendapat awak…kita buat majlis anniversary kita yang pertama nak tak? Cici meminta penuh harapan. Dia bukannya nak sangat buat majlis begitu…tapi rakan – rakan dan keluarganya sibuk mendesak.

Zariff Iqbal yang sedang membaca tersentak. Wajah Cici direnung tajam.
‘ awak jangan nak memandai – mandai buat sesuka hati. Saya tak suka. Awak ni tak tahu malu ke hah? Awak tu bukannya berharga sangat dalam diri saya. Anniversary ni hanya untuk pasangan suami isteri yang saling menyayangi. Awak tak layak!

Cici terbungkam. Pedih hatinya menahan kecewa.. Jika benar Zariff Iqbal bencikan dirinya janganlah sampai dia dihina begitu. Dia tidak menunggu lagi. Terus sahaja dia berlari ke kamar.

***********************

Masa begitu cepat berlalu. Terasa baru semalam dia disandingkan di pelamin. Terasa baru semalam dia memeluk tubuh Aiman yang halus. Kini anak tirinya itu sudah besar. Usianya menjangkau tiga tahun setengah. Tengah buas berlari – lari ke sana sini. Juga sudah petah berkata – kata.

Membesarkan Aiman benar – benar membuatkan Cici bahagia. Aimanlah membuatkan dia begitu tabah mengharungi perkahwinannya yang hambar. Padanya Aiman adalah segalanya, dan Aimanlah keutamaannya kini. Cici tidak mempedulikan lagi apa yang Zariff Iqbal lakukan pada dirinya. Dia tak peduli lagi layanan dingin Zariff Iqbal padanya. Dia tak peduli lagi sikap Zariff Iqbal yang menyeksa naluri batinnya. Dia sudah tak peduli lagi.

******************************


Zariff Iqbal baru pulang. Hari itu rumahnya sunyi. Cici dan Aiman tiada di rumah. Pergi ke rumah ibunya di Keramat. Ada kenduri doa selamat kerana adik lelakinya, Eric Rezza telah selamat pulang ke tanah air setelah hampir lima tahun belajar di luar negara. Dia tidak pergi, ada mesyuarat penting .

Bunyi kenderaan di luar menarik perhatiannya. Dari tingkap bilik dia menjengah. Dia kenal benar kelibat yang dilihatnya. Cici, Aiman, dan adiknya Eric Rezza.

‘ Terima kasih Eric, sebab hantar akak balik. Ingatkan nak suruh abang kamu jemput .tapi dia ada meeting pulak. Kalau akak tahu lebih baik akak drive sendiri. Buat menyusahkan Eric jek’

Eric Rezza tersenyum. Sebenarnya dia sendiri yang berkeras nak menghantar kakak iparnya itu pulang. Sengaja nak membuat amal. Lagipun ini pertama kali dia berjumpa dengan kakak iparnya itu, tentu sahaja banyak perkara yang hendak diborakkan.

‘ No hal…small matter. Hantar balik selalu pun tak pe. Eric Rezza sempat bergurau. Cici hanya tersenyum. Dia lega kerana adik iparnya dapat menerima dirinya dengan baik. Setahunya Eric Rezza dulu begitu baik dengan arwah Yeyen. Mujurlah dia dapat menerima dirinya sebagai pengganti Yeyen.

‘ tak nak masuk dulu..jumpa abang kamu? Cici mempelawa. Eric Rezza menggeleng. dia memberi alasan untuk segera pulang. Hari sudah larut malam.

*********************

Sepanjang perjalanan Eric Rezza tersenyum sendiri. Saat pertama perkenalannya dengan Cici terlalu istimewa. Pertama kali bertentang mata dengan Cici dia sudah terasa getar yang melanda jiwa. Belum pernah dia berjumpa dengan gadis secantik itu. Mulanya dia fikir Cici tersalah rumah.. Jemputan ke kenduri doa selamat itu hanya dikalangan keluarganya saja. Setahunya dia tiada pula saudara mara yang berwajah melayu sebegitu. Hampir semua kaum keluarganya di KL ini berwajah Pan Asia. Jadi mati – mati dia ingat Cici tersesat. Tapi Cici selamba saja masuk. Dia pula mula kaget. Pantas saja dia mengejar wanita jelita itu. Baru nak bukak mulut mamanya dah meluru memeluk Cici. Bila mamanya bagitahu barulah dia tahu wanita itu kakak iparnya.

Sejak perkenalan pertama lagi dia dah dapat rasa Cici wanita istimewa. Orangnya peramah, pandai mengambil hati, mudah mesra, bijak, dan yang paling penting sangat cantik! Timbul persoalan di hati..mengapa abangnya tidak dapat menerima wanita itu? Apa cacat celanya wanita itu? Dulu dia akui turut terpengaruh dengan kata – kata abangnya. Dia asyik memuji tindakan abangnya itu betul…Namun bila dia sendiri dah mengenali kakak iparnya itu…segala – galanya terus berubah!



*************************

‘ Rezza…akak ingatkan siapa! Cici membuka pintu. Eric Rezza tersenyum di muka pintu. Dia yang masih lengkap beruniform doktor melangkah masuk. Seperti selalu dia akan singgah di rumah abangnya. Entah kenapa, bagaikan ada tarikan magnet yang membuatkan hatinya ingin selalu ke situ. Cici menjemput adik iparnya itu duduk. Aiman yang sedang bermain terus meluru ke arah pak ciknya.

‘ Janganlah balik dulu. Makan malam kat sini ok? Kita masak sama – sama’ Cici memberi cadangan. Eric Rezza berfikir. Kemudian dia mengangguk. ‘ peluang jangan dilepaskan’, desisnya

Seperti biasa, Eric Rezza membantu Cici di dapur. Kakak iparnya itu tidak begitu pandai memasak. Tetapi satu yang dia amat kagum, wanita itu begitu bersungguh – sungguh mempelajari segala jenis masakan, lebih – lebih lagi makanan kegemaran Zariff Iqbal. Timbul rasa cemburu di hatinya.

Kemesraan Eric Rezza dan Cici tanpa disedari mengundang rasa kurang senang di hati Zariff Iqbal. Sejak akhir – akhir ini dia perasan adiknya itu sudah banyak berubah. Jika dulu puas dia mengajak adiknya supaya datang ke rumah, tetapi kini tidak lagi. Boleh dikatakan saban hari Eric Rezza akan ke situ. Setiap kali Eric Rezza datang, ada saja perkara yang akan dia lakukan bersama – sama isterinya.

Seperti selalu Eric Rezza akan membantu Cici memasak di dapur. Zariff Iqbal tahu Eric pandai masak, tetapi adiknya itu bukannya jenis rajin ke dapur. Tapi sekarang Eric sudah berubah. Kerap benar membantu Cici. Zariff Iqbal mula cemburu. Sengaja dia mencari alas an untuk ke dapur. Kejap – kejap dia ke peti ais. Tekak yang tidak haus, dipaksa juga meneguk air. Kemudian berpura – pura pula mencari barang. Semuanya dilakukan untuk mengintip kemesraan Rezza dengan Cici. Zariff Iqbal akui dia tidak suka melihat kemesraan mereka begitu. Cemburukah dia? Tak mungkin!

*********************


Zariff Iqbal mengangkat telefon bimbitnya yang nyaring berbunyi. Suara Eric Rezza dihujung talian. Mereka berbual kosong. Kemudian Eric mengajaknya makan tengah hari bersama.

‘ Iqbal, apa perasaan kau pada Cici? Eric Rezza menyoal. Zariff Iqbal tidak segera menjawab. Dia berkira – kira dalam hati. Dulu Eric pernah tanya soalan yang sama. Tetapi cepat saja dia jawab tiada perasaan. Kali ini dia agak sukar untuk memberi jawapan.

‘ Aku suka Cici!. Biji mata Zariff Iqbal bulat. Bagai tidak percaya dengar apa yang didengar. Eric kelihatan tenang. Rasa amat lega kerana sudah berterus – terang.

‘ Iqbal…aku suka Cici…aku serius ni! Dulu kau pernah beritahu aku yang kau langsung tak cintakan dia bukan? Iqbal mengangguk. “Itu dulu…”jerit hatinya.

‘ Aku betul – betul tak dapat tipu diri sendiri…aku memang sangat cintakan Cici…Setiap kali aku lihat dia…aku tahu dia terseksa. Aku tak sanggup tengok dia macam tu Bal! kalau kau tak sukakan dia..lebih baik kau lepaskan dia…Lancar Eric mengatakan perasaannya.

Zariff Iqbal terpana. Dia akui dia telah banyak melukakan hati Cici. Dia juga pernah berjanji untuk lepaskan wanita malang itu. Tapi itu cerita dulu…kini...dia akui, dirinya sudah mula menyukai Cici. Sumpah! Dia dah mula jatuh cinta padanya!!!

********************

Cici membaringkan tubuhnya di tilam empuk. Dia sempat menjeling. Zariff Iqbal sudah lena. Cici cuba memejamkan mata. Sukar! Entah kenapa, bayangan Eric Rezza sentiasa melingkari fikiran. Dia akui, sejak akhir – akhir ini hubungannya dengan Eric agak intim. Lelaki itu melayannya bagai puteri raja. Sentiasa menjemput makan tengah hari bersama, membelikannya hadiah, keluar membeli – belah, meluangkan masa bersamanya, mendengar dia bercerita…Erm…sejujurnya, Eric sejuta kali ganda lebih baik daripada suaminya. Zariff Iqbal? Huh, satu pun tiada yang istimewa. Sudahlah dingin padanya, kasar pula! Dia menyumpah diri kenapa dia boleh cintakan lelaki itu bagai nak gila!

Cici senyum. Seronok mengutuk Iqbal. Dia menjeling lagi. Iqbal masih lena. Cici termenung mengenangkan nasibnya. Sampai bila dia harus hidup begini? Dia manusia biasa…Punya hati dan perasaan. Mungkinkah Iqbal akan mencintai dirinya? Tak mungkin! Dia tahu jawapannya.

Telefon bimbitnya berbunyi. Panggilan daripada Eric Rezza. Cici segera menjawab. Suara romantic Eric menyapa. Cici rasa bahagia. Mereka berbual. Agak lama dan mesra. Cici tiba – tiba menjerit kecil. Dia sangat terkejut. Telefonnya dirampas. Iqbal mematikan talian.

‘ Kenapa dengan you ni? Cici marah. Zariff Iqbal buat muka selamba. Puas benar hatinya. Cici geram. Telefon bimbitnya ingin dirampas semula. Zariff Iqbal cepat – cepat memasukkan ke dalam bajunya. Cici berang!

‘ Yang you ni busuk hati sangat kenapa? Bercakap dengan Eric pun salah ke?

Zariff Iqbal buat muka tolol. Tak salah kau cakap? Mestilah salah! Sakit hati aku ni dibuatnya…bukan main ramantik lagi cakap dalam phone dengan adiuk aku! Eric ni pun satu..isteri aku pun jadi dia nak kebas. Jangan mimpilah kau nak miliki dia…Cici hak aku selamanya!!! Zariff Iqbal menjerit dalam hati.

**********************


Bayang Yeyen kian pudar. Akhir – akhir ini tidur malamnya tidak lagi dihiasi kenangan bersama Yeyen. Apa yang lebih menghairankannya, sejak dua menjak ini hanya tampang Cici yang melingkari perasaannya. Sumpah, setiap detik dia hanya teringatkan Cici! Zariff Iqbal menoleh ke sebelah. Cici sedang lena dibuai mimpi. Mungkin kepenatan menguruskan keluarga, dan bekerja. Di hatinya dia akui Cici terlalu sempurna. Dia rasa berdosa kerana mempersia – siakan insan semulia gadis itu. Zariff Iqbal rasa menyesal. Saat ini dia rasa mahu memeluk gadis itu dan tidak akan melepaskannya.

**********************


‘ Cici..tak lama lagi ulang tahun perkahwinan kita yang ketiga. I rasa I nak buat majlislah. Cici yang sedang mengemop lantai tak bersuara. Malas dia melayan Zariff.

‘ You dengar tak ni? Zariff Iqbal menyoal. Cici hanya mengangguk. ‘ Dia ni dah buang tebiat ke? Lantak kaulah..kalau nak buat.. kau buat sendiri…dan sambutlah sorang – sorang ..aku malas nak campur! Cici meneruskan kerjanya. Zariff Iqbal tidak puas hati. Cadangannya itu langsung tidak menarik perhatian Cici.

Zariff Iqbal menghampiri isterinya yang sibuk mengemas. Mop di tangan Cici ditarik lembut. Cici terkejut. Tak disangka Zariff akan bertindak begitu. Mungkin marah pada dirinya. Mata Zariff Iqbal melihat ke dalam anak mata Cici yang lembut. Lama dia merenung begitu sehingga terlupa apa yang ingin dikatakannya.

‘ I tak peduli…you mesti kena setuju…Zariff Iqbal mendesak. Cici buat muka selamba. Mop di tangan Zariff Iqbal diambil semula, lalu dia meneruskan kerja yang masih bersisa.

‘ Kenapa dengan you ni? Zariff Iqbal mula terasa. Cici menghentikan kerjanya. ‘

Encik Iqbal…buat apa nak buang duit adakan majlis anniversary tu…dulu you jugak yang cakap majlis tu hanya untuk pasangan yang saling mencintai. Cuba you tengok hubungan kita ni?? Saling mencintai ke? Lagipun I kan tak layak untuk sambut majlis macam tu dengan you…Tapi kalau you nak sangat sambut..tunggulah sampai kita berpisah dulu…dan bila you dah jumpa orang yang layak sambut dengan you..barulah you buat majlis tu..tujuh hari tujuh malam pun tak pe..’ Cici memulangkan buah keras. Puas hatinya dapat mengenakan lelaki sombong itu.

Zariff Iqbal melopong. Tak sangka Cici masih ingat kata – katanya. Mungkin juga Cici masih tersinggung dengan kata – katanya pada malam itu. Rasa menyesal kian menghimpit. Bolehkah keadaan dibetulkan? Bolehkah kesilapannya dilupakan?

*************************

Tetamu semakin ramai yang hadir. Cici begitu sibuk melayan sanak – saudara dan sahabat yang hadir. Majlis ulangtahun perkahwinannya cukup meriah. Mulanya Cici sendiri malas nak mengadakan majlis ini. Tapi Zariff Iqbal yang melebih – lebih. Nak tak nak dia terpaksa turutkan juga kehendak Zariff Iqbal. Malas dia nak terus bergaduh dengannya.


Malam itu ramai yang memuji kecantikan Cici. Zariff Iqbal tersenyum bangga. Cici memang terlalu cantik! Tetapi hatinya sebal. Evening dress yang melekat di tubuh isterinya itu pemberian Eric Rezza, bukannya baju yang dibelinya. Rasa cemburu menguasai diri.

*************************

‘ Nah, hadiah untuk you.’ Cici menghulurkan sebungkus kotak kecil. Zariff Iqbal yang sedang bersiap ke pejabat menyambut. Bungkusan dibuka. Dia senyum. Sehelai tali leher berwarna biru terlipat kemas. Warna kesukaannya! Zariff Iqbal merenung Cici yang sedang bersolek untuk ke pejabat. Rasa cinta menguasai diri. Dia terharu. Walaupun dia tidak melayan Cici dengan baik, tetapi wanita itu tetap mengambil berat tentang dirinya. Sepanjang mereka berkahwin, Cici tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai isteri. Segala makan pakainya dijaga. Setiap kali dia sakit, wanita yang dibenci itulah yang bersengkang mata menjaganya. Paling terharu, Cici menyayangi Aiman seperti anak kandungnya sendiri.

‘ Cici…dia memanggil. Cici menoleh. ‘ Tolong pakaikan’ Dia meminta. Cici akur. Tali leher dibelitkan dia leher suaminya. Zariff Iqbal merenungnya. Cici sedikit gugup. Simpulan mula dibuat. Zariff Iqbal tiba – tiba memeluk. Cici kaget. Dia masih berpura – pura biasa. Zariff Iqbal semakin nakal. Dia merapatkan tubuh Cici yang dirangkul kemas ke dadanya. Jarak mereka terlalu hampir. Dada Cici sesak. Zariff Iqbal bertambah berani. Bibirnya dirapatkan ke bibir Cici.

‘ Hadiah untuk you…my beloved wife…’ Zariff Iqbal menitip kata. Dia yakin dengan apa yang dikatakannya. Ia lahir dari hati kecilnya. Bukan sebab paksaan atau cabaran. Sumpah! Cici tergamam. Demi Allah, inilah kata – kata yang ingin sangat didengarnya. Air matanya bergenang. Bibir mereka saling bertaut. Penantian Cici berakhir. Cinta itu tetap miliknya.

3 comments:

Anonymous,  June 7, 2010 at 10:46 PM  

best la...suke sgt...Eric lg hensem ke Zarif? aku suke Eric..hahaha....ape pun thumbup...mmg patut jd novelis ko ni...

(Jojie)

Nadia Rafeeza June 8, 2010 at 1:36 AM  

Dalam citer ni aku bayangkan dua-dua pon hensem..hehehe..Ala, aku merepek tah ape2 jek..saje suke2..Kalau dalam full version dalam edisi novel..watak Eric akan dikembangkan dgn lebih best..dia jumpe Cici pon caranyer lebih ala-ala magik gitu..heheh..tapi tu la aku x de disiplin yg tinggi nak siapkan novel.insyaallah la aku cube gak..dapat 1 novel seumur hidup pon jadi ler..ehhehe

Anonymous,  June 9, 2010 at 11:06 PM  

btl la kan...nak buat novel ke waima verpen sekalipun kene ade disiplin yg tinggi kan...n persekitaran yg boleh membawa kpd penghayatan tahap maksima...apepun chayuk2...aku yakin ko boleh...

(Jojie)

Post a Comment

  © NOME DO SEU BLOG

Design by Emporium Digital